Pages

Sunday 22 September 2013

Berita pelik dari Mesir, suatu keajaiban.









Ikhwanisasi Penjara

Kini 50 ribu pendokong anti-kudeta mengisi penjara-penjara Mesir atas alasan tangkapan yang berbagai dan suka-suka dari pihak tentera Mesir.

Tragisnya, tahanan politik Ikhwan dan anti-kudeta ditempatkan di penjara jenayah berat. Dicampur dengan tahanan kes-kes jenayah rompakan, rogol, dadah, pembunuhan dan lain-lain. Tujuannya, anggota Ikhwan ini diseksa secara mental dan fizikal.

Namun keajaiban terjadi. Baru sebulan sahaja tahanan kes jenayah ini dicampurkan dengan tahanan politik Ikhwan, para penjaga dan ketua penjara mengeluh, "Tahanan jenayah terikut-ikut kebiasaan Ikhwan iaitu tilawah Quran, solat malam, tahajjud, puasa". Keanehan ini juga terlihat apabila pelawat datang, para tahanan jenayah ini meminta mushaf Quran, sejadah, pakaian untuk shalat, dan tasbih. MaasyaAllah.

Kini penjara Mesir terjadi Ikhwanisasi. Sebahagian berbahagia Ikhwan ditekan, padahal Ikhwan adalah "madrasah(tempat didikan)". Nyawa boleh dimatikan dengan peluru atau buldozer, tapi fikrah itu tak akan pernah mati.

*gambar menunjukkan para Ikhwan solat berjemaah di dalam penjara Turrah (salah satu penjara di Mesir) suatu ketika dahulu

Sumber: Islamedia, Harakahdaily

Pertandingan mencipta logo

Tinggal 3 hari sahaja lagi sebelum ditutup penyertaan. Jangan lepaskan peluang!

Klik gambar untuk paparan lebih jelas.

Pohon amal PAS tetap berbuah walau hebat dipalu

 
PAS bukan hanya sebuah parti politik, tetapi merupakan sebuah gerakan Islam. Sudah menjadi sunnatullah perjuangan menegakkan Islam di muka bumi Allah Taala sentiasa dihampari dengan onak dan duri.Segala dugaan yang menimpa merupakan ujian dan tapisan Allah kepada para pejuang agamaNya yang benar-benar ikhlas. Allah pasti akan memelihara gerakan Islam ini yang sentiasa tegas dan tetap dengan pendiriannya daripada segala anasir luar dan serangan pemikiran yang dahsyat. Walau hebat diserang dari dalam dan luar, PAS tetap berlapang dada. PAS percaya, segala kemungkaran dan kemusnahan yang ingin dicipta pasti akan ditunjukkan dan dihapuskan dengan sendirinya oleh Allah SWT.  [admin]




Sunday 8 September 2013

"Minyak Naik, semua nak naik!"

- Gambar Hiasan -



Memang benar, ketentuan harga adalah dari Allah swt, malah semua perkara juga demikian. Namun mengajak beriman dan pasrah terus sambil mengabaikan arahan Allah dan RasulNya agar berusaha memotong unsur kezaliman , ketidakstabilan dan kelemahan yang mengganggu proses harga adalah kaedah berfikir yang SALAH. Lihat Allah swt mengharamkan Riba. Begitu juga haramnya BAI’ AN-NAJASH kerana manipulasi harga sebenar secara terancang oleh rakan penjual, HARAMNYA Jualan TALAQQI AL-RUKBAN kerana menganggu harga pasaran, DIHARAMKAN juga IHTIKAR (simpanan barangan asasi agar naik harga kerana demand secara paksaan dicipta). Justeru, fahamilah hadis berkaitan 'harga adalah ketetapan Allah' beserta hadis-hadis yang berkaitannya. Jika tidak, anda mungkin melencong dari kefahaman yang betul.

Nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang TIDAK TERDESAK. Nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam juga menolak permintaan sahabat baginda untuk melakukan 'ceiling' harga di ketika pasaran tidak diserapi unsur zalim oleh peniaga dan tiada campurtangan dalam ketetapan harga, tiada gangguan pada permintaan serta penawaran Sebagaimana respon dan jawapan Nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam kepada sahabat baginda :
بل الله يخفض ويرفع , وإني لأرجو أن ألقى الله وليس أحد منكم يطالبني بمظلمة في دم أو مال
Ertinya : Bahkan Allah SWT adalah yang menaik dan menurunkan harga, dan sesungguhnya akhu berharap untuk bertemu Allah dan tiada seorang pun dari kalangan kamu menuntut dariku akibat sebarang kezaliman ( yang aku lakukan) samada berkaitan darah atau harta" ( Riwayat Abu Daud ; hlm 385 ; Al-Bayhaqi, 6/29 ; Sohih menurut Albani)

Namun kemudiannya, ulama terulung dari kalangan Tabi’en seperti Imam Sa’id Musayyab, Yahya Sa’id Ansari, Imam Malik dan ramai lagi ulama tabien sezaman dan yang selepasnya bersetuju ia dilaksanakan dalam suasana peniaga sengaja menyekat barangan bertujuan untuk memaksa harga naik disebabkan permintaan meningkat mendadak. Sebagai jalan menghalang kezaliman dari berlaku.

Sheikhuna Prof. Dr. Fathi Al-Durayni menjelaskan tas’ir diterima kemudian oleh para ulama mujtahidin tabien bagi mencapai maqasid atau objektif yang disasarkan oleh Nabi s.a.w sendiri semasa baginda menolak tas’ir. Iaitu Baginda menolak kerana tidak mahu berlaku kezaliman kepada pengguna dan peniaga. (Manahij Al-Ijtihad, Dr Fathi Ad-Durayni, hlm 159)

Ulama tabien pula membenarkan tas’ir kerana berubahnya suasana dan keperluan di ketika zaman mereka, lalu mereka menerima tasi’r. Jelas dari isu ini, objektif adalah sama cuma bentuknya berbeza.



Dr. Zaharuddin Abd Rahman
9 Sept 2013

Tuesday 11 June 2013

Sajak: "Apakah Benar Engkau Pejuang?"

Apakah Benar Engkau Pejuang ?

Sebuah Sajak yang berbentuk nasyid dari kumpulan nasyid Qathrunada yang bertajuk Cinta Agung.. Hayatilah !

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لآئِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاء وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa di antara kamu berpaling dari agamanya (murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya lagi meliputi PengetahuanNya.”

(al-Maidah:54)

~ Engkau ingin berjuang, Tapi tidak mampu menerima ujian

~ Engkau ingin berjuang, Tapi engkau rosak oleh pujian

~ Engkau ingin berjuang, Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan

~ Engkau ingin berjuang, Tapi tidak begitu setia kawan

~ Engkau ingin berjuang, Tapi tidak sanggup berkorban

~ Engkau ingin berjuang, Tapi ingin jadi pemimpin

~ Engkau ingin berjuang, Menjadi pengikut agak segan

~ Engkau ingin berjuang, Tolak ansur engkau tidak amalkan

~ Engkau ingin berjuang, Tapi tidak sanggup menerima cabaran

~ Engkau ingin berjuang, Kesihatan dan kerehatan, Tidak sanggup engkau korbankan

~ Engkau ingin berjuang, Tapi tidak mampu menerima ujian

~ Engkau ingin berjuang, Tapi engkau rosak oleh pujian

~ Engkau ingin berjuang, Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan,

~ Engkau ingin berjuang, Masa tidak sanggup engkau luangkan

~ Engkau ingin berjuang, Karenah isteri tidak kau tahan

~ Engkau ingin berjuang, Rumahtangga lintang-pukang

~ Engkau ingin berjuang, Diri engkau tidak engkau tingkatkan

~ Engkau ingin berjuang, Disiplin diri engkau abaikan

~ Engkau ingin berjuang, Janji kurang engkau tunaikan

~ Engkau ingin berjuang, Kasih sayang engkau cuaikan

~ Engkau ingin berjuang, Tetamu engkau abaikan

~ Engkau ingin berjuang, Anak isteri engkau lupakan

~ Engkau ingin berjuang, Ilmu berjuang engkau tinggalkan

~ Engkau ingin berjuang, Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan

~ Engkau ingin berjuang, Pandangan engkau tidak diselaraskan

~ Engkau ingin berjuang, Rasa bertuhan engkau abaikan

~ Engkau ingin berjuang, Iman dan taqwa engkau lupakan

~ Ya sebenarnya apa yang Engkau hendak perjuangkan...

Nasrudin Hassan



Monday 10 June 2013

Status Parti Sosialis Malaysia di dalam Pakatan Rakyat


Akhirnya PSM bukan ahli PR, tepatlah ijtihad Tuan Guru Presiden PAS.

Isu status PSM dalam PR amat mengelirukan sehingga muncul konflik kerusi Kota. Kini pimpinan PR telah mengeluarkan kenyataan bahawa Parti Sosialis itu tidak termasuk dalam komponen PR. Kini timbul persoalan:

1- Mengapa dibenarkan PSM bertanding atas tiket PR sedangkan ketika itu belum wujud konsensus jelas. Ibarat lakukan hubungan terlarang terlebih dahulu, kemudian baru fikir samada jadi nikah atau tidak.
2- Segala kekalutan berpunca dari hubungan gelap PKR dan PSM sehingga mengecewakan adik beradik lain (PAS & DAP) serta menggoncangkan keluarga PR. Ahli terus keliru apa status sebenar PSM dalam PR. Bahkan tidak sedikit pendukung PAS yang menjadi mangsa persepsi berikutan hubungan terlarang ini.
3- Kini telah diputuskan bahawa PSM bukan dari PR. Sedangkan kerusi Kota Damansara, PSM perolehi pada PRU 12 atas nama BA (kini PR). Sekarang semua tertanya2, apakah status Kota Damansara sebenarnya? Adakah ia merupakan anak tidak sah taraf hasil hubungan terlarang? Siapa sebenarnya yang berhak secara absah mengurus kebajikan rakyat di N39? Siapakah akan menguruskan pusat penyelaras Dun Kota Damansara?
4- Bagaimana pula nilai amanah pengundi Kota Damansara yang mengundi Dr. Nasir atas nama PR pada PRU 13 yang lepas? Tidakkah mereka rasa tertipu?
5- Ternyata ijtihad TG Presiden PAS amat tepat. Siapa yang berusaha menidakkan ijtihad tersebut secara taktikal ketika bertanding dulu? Isu watikah dan arahan TG Presiden PAS yang disorokkan. Seterusnya siapa yang ghairah menghukum TG Presiden PAS sebagai pengkhianat semata2 tindakan TG Presiden PAS memelihara kesatuan komponen PR?
6- Telah jelas kesalahan dan siapa buat salah, mahu berpeluk tubuh lagi?

Kini telah terjawab soal kesetiaan dan amanah. InsyaAllah PAS akan tetap berpegang dengan janji seterusnya memelihara pakatan ini agar tiada golongan2 tempelan yang mengambil kesempatan.

k.g.b via 
Abdul Mu'izz Muhammad
Pengerusi Akademi Tarbiyah DPPK Klang




Monolog untuk seorang pemimpin

Layakkah untuk aku tidur dengan lena dalam keadaan pimpinan berhempas pulas disepak terajang dimedan oleh musuh?

Layakkah untuk aku mengata 'aku sibuk' berbanding pimpinan yang lagi sibuk dengan tugasan yang bertimbun-timbun?


Layakkah aku mengkritik pimpinan tapi aku hanya pandai bercakap, menulis di FB tanpa setitik peluh pun tidak aku keluarkan untuk membantu pimpinan?

Layakkah aku mengaku pejuang kalau kerja aku masih sambil lewa?

Adakah aku pejuang?
Orang yang berfikir+bekerja yang hanya mengerti.

Melihat foto TGHA mengubat sedikit kepenatan yang tidak seberapa ini.

Akademik harus dijaga, dakwah harus diteruskan. 

-Abdul Malik II-


Hati sayu sebenarnya melihat wajah Presiden kami ini..seolah-olah merenung jauh dan memikir akan sesuatu yg berat..yaAllah,hati ini sebak melihat kekerutan pada riak wajah Presiden kami ini....sungguh besar pengorbanannya untuk jemaah..hidup mati kami hanya utk Islam yang didokongi oleh PAS. Allahu akbar!!

Sunday 9 June 2013

Selamat Menyambut Israk & Mikraj

SELAMAT MENYAMBUT ISRAK DAN MIKRAJ
Bismillahirrahmaanirrahiim..
Pada 27 Rejab 1434H bersamaan 6 Jun yang lepas umat Islam di seluruh dunia telah menyambut Israk dan Mikraj. Setiap tahun pasti pelbagai pengisian yang kita terima berkaitan peristiwa penting ini. Namun, adakah kita benar-benar menghayati erti sebenar dan pengajaran dari Israk Mikraj ini? Sama-samalah kita muhasabah, setiap tahun dan ketika untuk menilai prestasi kita di sisi Allah. Peristiwa lsra' mi'raj ini mengajar kita untuk check and balance status kita sebagai manusia yang tidak lain hanyalah seorang HAMBA di sisi ALLAH SWT. Jika RasululLah saw yang ma'asum itu Allah sebut sebagai "HambaKu" saja dalam ayat Quran sepertimana disebut di dalam ayat pertama suratul lsra'.
Peristiwa Israk Mikraj ini menguji keimanan manusia. Ini kerana peristiwa yang dialami baginda SAW tidak seorang pun dapat membayangkannya. Ini adalah sebab tamsil iaitu tayangan yang baginda lihat dalam perjalanan baginda dari Mekah ke Baitul Maqdis. Peristiwa yang berbentuk futuristic, malah masa perjalanan itu sendiri pun very fantastic. Memang sukar untuk percaya perjalanan itu hanya mengambil dalam masa semalaman saja. Hanya orang yang yakin dengan kudrat dan iradat Allah boleh menerima hakikatnya. Bagi orang-orang yang beriman 'pertemuan' Baginda Rasulullah SAW dalam lsrak dan Mi'raj itu boleh menjadi teladan dan sempadan dalam mengatur kehidupan masing-masing kearah mendapat Redha ALLAH. Manusia boleh memilih jalan baik atau jalan yang membinasakan mereka. Ini kerana pelbagai peristiwa dan peringatan yang sarat ditunjukkan di dalam peristiwa ini.
Anugerah terbesar dari peristiwa ini ialah solat. Perintah solat 5 waktu sehari semalam bagi menjaga keimanan seseorang. "Sesungguh nya solat mencegah kepada kemungkaran dan kekejian.". Juga solat adalah tiang agama. Mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja ibarat meruntuhkan Islam dalam diri mereka. Solat jugalah yang pertama sekali dinilai oleh Allah di Padang Mahsyar kelak. Hikmat solat hanya boleh dicapai oleh sesesiapa yang benar-benar menjaga ibadat ini.
Selamat menyambut dan menghayati Israk dan Mikraj. Kita mulia kerana Islam. Jadi sama-samalah kita memperbaiki iman kita agar sentiasa dekat dan kasih pada Allah dan rasulNya. Moga kita termasuk dalam golongan yang beriman ini dan sentiasa di dalam perlindunganNya. Amiin.















Pn. Hjh Safinah Jusoh 
Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu (DMPNT)

Saturday 8 June 2013

Kenyataan Media Presiden PAS - Gesaan Diwujudkan Satu Suruhanjaya Bebas Postmortem PRU KE 13

“GESAAN DIWUJUDKAN SATU SURUHANJAYA BEBAS POSTMORTEM BAGI MENYIASAT PERJALANAN PROSES PILIHANRAYA UMUM KE 13”
7 Jun 2013 / 28 Rejab 1434 H
Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin mengulangi kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini bahawa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang baru sahaja berakhir itu diadakan dalam keadaan penuh keraguan dan kelemahan proses yang paling ketara dalam sejarah pilihan raya negara Malaysia. Berbagai persoalan timbul dari proses sebelum dan semasa pilihanraya, termasuklah sistem demokrasi yang jelasnya tidak berlaku adil kepada Pakatan Rakyat dari aspek penggunaan media cetak dan elektronik arus perdana yang berkempen secara terbuka bagi pihak Barisan Nasional. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin membuat cadangan supaya diadakan satu post mortem yang menyeluruh terhadap semua aspek PRU13 ini. Hakikatnya ialah semua pihak dari Pakatan Rakyat, NGO, dan individu rakyat Malaysia, termasuklah dari parti Barisan Nasional sendiri juga mengakui bahawa wujudnya banyak kelemahan yang boleh diperbaiki dalam menguruskan PRU sebagai pelengkap kepada sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Pihak kerajaan sendiri juga telah membuat kenyataan supaya diletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Parlimen, dan ini telah memberi gambaran bahawa kedudukan SPR sekarang belum bebas sepenuhnya. Tindakan untuk meletakkan SPR di bawah Parlimen tidak mempunyai apa-apa erti sekiranya kita tidak tahu punca permasalahan yang timbul. Oleh itu PAS ingin menggesa pihak kerajaan untuk mewujudkan satu Jawatan Kuasa Bebas atau satu Suruhan Jaya Bebas Postmortem PRU13 yang boleh menyiasat secara terbuka dan telus bagi mendapat maklumat kelemahan, salah laku, kepincangan dari semua pihak. Hanya setelah kelemahan-kelemahan ini diketahu baharulah pembaikan secara menyeluruh dapat dilakukan.


Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS

Thursday 6 June 2013

Selesai luar mahkamah, kemenangan kepada TG Nik Aziz


KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor dan enam yang lain termasuk akhbar NST untuk menyelesaikan kes saman di luar mahkamah merupakan satu kemenangan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi (gambar di bawah) yang dihubungi Harakahdaily memberitahu, keputusan tersebut diperolehi ketika perbincangan antara peguam dilakukan dalam kamar di mahkamah semalam.  

"Saya menyifatkan ini satu kemenangan kepada Tok Guru Nik Aziz dalam saman yang beliau kemukakan kepada Abdul Rahim dan enam yang lain apabila mereka mahu menyelesaikannya di luar mahkamah.

"Walaupun saya tidak boleh menyatakan jumlahnya yang perlu mereka bayar tetapi ia sebenarnya menunjukkan satu pengakuan dari mereka semua berhubung tindakan yang telah dilakukan," jelasnya.

Dalam pada itu beliau juga berharap keputusan ini akan menjadi iktibar kepada mana-mana pihak yang cuba melemparkan fitnah ataupun kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Selain Hisham (gambar kiri) turut mewakili bekas Menteri Besar Kelantan itu ialah peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Sebelum itu, Nik Abdul Aziz pada 31 Mei tahun lepas telah memfailkan saman fitnah RM10 juta itu terhadap Abdul Rahim di samping tiga pemberita akhbar New Straits Times (NST)-- Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean dan Nik Imran Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan NST Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan NSTP sebagai defendan.

Saman itu dikemukakan berikutan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Polis Negara pada 8 Mei dalam NST yang menggelar Nik Abdul Aziz sebagai bapa kafir (father of kafir) yang didakwanya cuba memesong orang Islam bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah tanggungjawab agama.

Akhbar NST memetik Rahim sebagai berkata perkara itu bukan kali pertama Nik Aziz mengeluarkan kenyataan seperti itu yang didakwanya "mengelirukan" rakyat.

(petikan Harakahdaily.net , 6 Jun 2013)



(Berita NST yang mendakwa TG Nik Aziz bapa kafir)

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi