Pages

Wednesday 5 October 2011

Soal Jawab Agama


Dilema Suami dalam Memartabatkan Institusi Kekeluargaan

Isteri Mengandung Diperiksa oleh Doktor Lelaki Kedamaian dan ketenangan hidup merupakan harapan setiap insan. Kemesraan dan kesefahaman antara suami isteri, membuahkan kerinduan yang mendalam.  Jika kebahagiaan itu diganggu dengan duri-duri kehidupan yang menggores jiwa  dan perasaan, secara perlahan kemesraan rumahtangga tersebut menjadi  terhakis. Untuk menetapkan kebahagiaan rumahtangga dari hakisan, hindarilah  sesuatu yang dapat menimbulkan kebimbangan dan keraguan dalam jiwa. 

Soalan:

Ada suatu perkara yang selama ini mengganggu fikiran saya, dan bagi saya ia telah menjadi perkara yang SERIUS. Saya telah mempunyai empat orang anak,  keempat-empat anak saya tersebut lahir melalui perawatan doktor lelaki.  Semenjak dari pemeriksaan hinggalah sampai mereka lahir, doktor lelaki  itulah yang melaksanakannya. Yang menjadi kemusykilan saya apakah  pemeriksaan bulanan ketika mengandung yang dilakukan oleh doktor lelaki  tersebut dengan memegang bahagian-bahagian aurat seperti perut dan  sebagainya dikira sebagai darurat. Sedangkan ketika itu isteri saya bukan  dalam keadaan sakit tapi dalam keadaan normal. Apakah hukumnya jika kita  membiarkan perkara itu terjadi di depan kita sedangkan mungkin kita boleh  mencari alternatif lain seperti mencari doktor pakar wanita ataupun bidan?

Daripada,
Keluarga Muslim K. L.

Jawapan & Penjelasan:

Pada diri wanita ada ciri-ciri atau kriteria yang spesifik dan itu  tidak dimiliki oleh lelaki, begitu pula sebaliknya. Apabila salah satu pihak meninggalkan kriteria yang telah ditetapkan Allah bererti ia telah  meninggalkan fitrah dan merosak kudrat insaniah. Ada beberapa ketentuan dalam syariat Allah sehubungan kriteria yang dimiliki oleh wanita, oleh  sebab itu berpegang teguhlah dengan syariat tersebut dan jangan perkenankan  lelaki campur tangan dalam urusan dalaman jika tidak ingin dirugikan ataupun  kehidupan fizikal dan kejiwaan wanita akan rosak. 

Syariat & Darurat

Secara syariat, wanita muslimah hendaklah menjaga dirinya dan auratnya  dari dilihat orang lain, kerana jika perkara ini terjadi pasti akan menimbulkan fitnah. Secara fitrah baik lelaki ataupun wanita yang bukan  muhrim bersentuhan pasti akan menimbulkan berahi dan getaran jiwa yang akan  mendatangkan tekanan syahwat baik banyak mahupun sedikit. Inilah namanya  nafsu yang pasti ada pada diri seorang lelaki ataupun wanita yang normal.

Wanita mengandung ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor  lelaki bukanlah tergolong dalam keadaan darurat, kerana ketika itu wanita  tersebut bukan dalam keadaan sakit. Jika ia bukan dalam keadaan darurat  sudah tentu hukumnya berdosa ketika seorang doktor lelaki menyentuh  bahagian-bahagian tertentu tubuh wanita tersebut. Kedudukan darurat dalam  Islam adalah jika sesuatu keadaan itu tidak ada pilihan lain, maka secara  terpaksa atau harus kita melaksanakan sesuatu yang pada dasarnya  bertentangan dengan ketetapan Allah. Umpamanya, memakan daging khinzir  hukumnya haram, namun ketika dalam keadaan tidak ada sedikitpun makanan  melainkan daging itu sahaja, sedangkan kita dalam keadaan kelaparan yang  boleh membawa maut, maka hukumnya menjadi harus memakan daging tersebut  sekadar mengelakkan dari mati.

Pemeriksaan Bulanan

Begitu juga halnya dalam masalah pemeriksaan bulanan, ia bukanlah dalam  keadaan darurat, sebab masih ada cara lain atau alternatif lain untuk  mencari doktor wanita ataupun bidan yang beragama Islam. Apatah lagi di  negara kita sekarang ini mudah didapati doktor wanita, bahkan di hospital  dan klinik kerajaan pun kebanyakan yang memeriksa wanita hamil terdiri dari doktor atau bidan wanita. Mengapa kita mesti mencari doktor lelaki jika  hanya sekadar menginginkan kepakaran mereka disaat mengadakan pemeriksaan bulanan. Bahkan doktor wanita yang pakar sakit puan pun telah ramai di  negara ini. Maka tidak timbullah istilah 'darurat' ketika mengadakan  pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bagi wanita hamil. Kecualilah  ketika akan melahirkan, di mana wanita yang akan melahirkan tersebut  memerlukan pembedahan dan perhatian yang serius dari ramai pihak. Maka  ketika ini barulah boleh dipakai istilah darurat tersebut, kerana wanita
yang ingin melahirkan itu tidak terfikir masalah lain, melainkan ingin  selamat melahirkan anaknya.

Aspek Psikologi

Ditinjau dari aspek psikologi pun proses pemeriksaan bulanan yang  dilakukan wanita hamil dengan doktor lelaki ini akan menimbulkan kesan yang jauh dan negatif dalam hubungan kekeluargaan. Bayangkan saja bagi seorang  wanita yang selama ini hanya disentuh oleh suaminya, tentu akan merasa suatu  getaran ketika lelaki lain menyentuhi tubuhnya. Rasa kelainan dan getaran inilah yang membenihkan suatu keinginan tertentu kepada yang lain selain  suaminya, lebih-lebih lagi ketika mereka menghadapi masalah atau krisis rumahtangga. Perkara ini sepintas lalu  nampaknya macam perkara biasa dan sederhana, namun dalam jangka masa  panjang, kesannya sangat membahayakan minda dan jiwa isteri tadi serta  suaminya juga. Dalam hal ini bagi doktor lelaki mungkin tidak merasakan  apa-apa perasaan terhadap pesakitnya, disebabkan terlalu ramai pesakit yang  dirawatnya setiap hari dan ini menjadikannya lali dengan keadaan tersebut.  Namun bagi seorang wanita yang normal dan sihat, getaran di jantungnya pasti  akan terasa dan getaran inilah yang dinamakan syahwat.    

Jika perkara ini terjadi bukanlah bererti setiap wanita yang hamil itu  tidak baik atau wanita yang rendah moralnya, malah perkara ini membuktikan  kenormalan wanita tersebut. Dalam hal ini kebijaksanaan suami sangat  dituntut untuk melaksanakan tuntutan Islam agar isterinya mengadakan  pemeriksaan bulanan dengan doktor wanita Islam sahaja. Menggerakkan Nafsu Syahwat

Saya ingin membawa contoh yang sama dalam diri seorang lelaki.  Bagaimanakah rasanya perasaan seorang lelaki jika bahagian tertentu tubuhnya  disentuh oleh doktor wanita dengan nada bahasa yang lemah-lembut dan baik.  Sebagai seorang lelaki yang normal, pasti dia akan merasakan getaran di  jantungnya, kecualilah jika ketika itu ia betul-betul sakit (dalam keadaan  darurat), sehingga tidak ada yang lain difikirkannya melainkan kesembuhan  dari sakitnya itu. Begitu juga halnya dengan doktor wanita yang menyentuh  pesakit lelaki mungkin merasa lali dengan situasi tersebut disebabkan  propesi dan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor.

Keretakan Rumahtangga

Fahamilah tentang kaedah batas-batas aurat bagi seorang wanita atau  lelaki yang bukan muhrim. Jika perkara ini tidak diberi perhatian secara  serius, lama kelamaan akan runtuhlah sendi institusi rumahtangga keluarga  muslim. Seandainya seluruh umat Islam tidak mengambil berat tentang perkara  ini, bukan saja institusi rumahtangga malah negara pun akan runtuh kerana  kejatuhan nilai moral dan agama dalam kehidupan bangsa. Peliharalah diri dan  keluarga kita agar kehidupan bahagia di dunia dan di akhirat serta terhindar  dari seksa api neraka.

0 komen:

Post a Comment