Puan Safinah Jusoh
Ketua DMPNT
Assalamualaikum wrt wbt
Pertama-tamanya kita memanjat syukur kehadrat Ilahi kerana dengan Taufik dan InayahNya kita semua dipanjangkan usia, berpeluang bersama-sama menginjakkan diri memasuki tabir awal Hijrah 1433. Tahun ini, tahun yang banyak menuntut semua pihak membuat suatu perubahan yang bererti besar kepada diri masing-masing dalam menentukan arah tuju kehidupan yang selamat sejahtera buat masa sekarang ini baik pun untuk generasi yang akan datang.
Jika, hijrah Baginda RasuluLlah s.a.w pada 1433 tahun dahulu adalah kerana merupakan perintah Allah s.w.t demi merealisasikan kalimah syahadah yang mulia di Madinatul Munawwarah dengan menegakkan sebuah kerajaan Islam di sana yang dipimpin oleh Baginda sendiri.
Oleh itu, maka hal yang sama juga harus menjadi aspirasi dan cita-cita kita semua. Hijrah RasuluLlah s.a.w membuktikan aqidah merupakan satu kekuatan (force) yang boleh menyatukan dan menzahirkan persaudaraan kasih sayang, perkongsian harta benda yang hakiki tanpa sempadan bangsa dan kedudukan sosial seseorang.
Dalam konteks negeri Terengganu, PAS sebagai “Kerajaan Menunggu” (Government-in-waiting) harus peka dengan permasalahan dan keresahan yang dihadapi oleh penduduk dan rakyat Terengganu.
Para pemimpin dan amilin PAS perlu bersungguh dan serius membela dan menyelamatkan mereka itu daripada ditindas dan dipermainkan oleh kerajaan BN.
Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nisa’:75 yang bermaksud:
“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Allah) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak ; iaitu mereka yang selalu berdoa dengan berkata; “Wahai Tuhan kami, keluarkan kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)” ”
Sebagai memperingati satu hijrah 1433, marilah kita meluruskan niat masing-masing demi Allah dan rasul dalam membangkitkan semula semangat kerja 1999 yang telah membawa kemenangan PAS menjadi kerajaan memerintah Terengganu. Dengan PRU 13 yang semakin dekat akan diadakan, penyusunan kerja yang teratur, rapi dan mesra rakyat oleh para petugas PAS serta “Celik Undi PAS” besar-besaran daripada pengundi, sekali lagi PAS bersama Pakatan Rakyat diizinkan Allah memerintah Terengganu, insyaAllah.
Selamat melayari kehidupan kita dengan semangat Hijrah “Hijrah Untuk Kesejahteraan Ummah”. Allahu Akbar!
Puan Safinah Jusoh
Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu
Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu
0 komen:
Post a Comment